Kementerian Sumber Manusia menjangkakan hanya 30,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata ia adalah hasil kajian yang dilakukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan juga Jabatan Tenaga Kerja Malaysia di bawah kementeriannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya menjangkakan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan baharu bakal wujud tahun ini.

"Ini adalah jumlah yang sama dengan lalu dan ini adalah perkara yang biasa.

"Walaupun 30,000 dijangka akan diberhentikan, kami juga menjangka kira-kira 300,000 lagi peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan tahun ini.

"Jumlah peluang pekerjaan baharu ini menjangkau permintaan dalam pasaran pekerjaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan interim di Putrajaya, hari ini.

Jelas Riot, peluang pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan melibatkan sektor pembuatan, perladangan dan perkhidmatan.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendakwa jangkaan lebih 50,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini.

"Saya tidak pasti di mana MEF mendapat maklumat tersebut. Tetapi saya pasti kami berada di landasan yang betul," kata beliau.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan semalam berkata dakwaan bahawa 50,000 pekerja akan diberhentikan pada tahun ini adalah tidak tepat.

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang telah bermula sejak 1 Januari lalu, Riot berkata, pihaknya telah menyaksikan 175 permohonan.

Jelas beliau, sebagai permulaan kerajaan telah memperuntukkan RM122 juta bagi skim tersebut dalam usaha membantu pencarum PERKESO yang kehilangan pekerjaan tahun ini.

"Selain menerima bantuan kewangan, penerima juga menyertai Program Penempatan Semula Pekerjaan yang dikendalikan secara bersama dengan JobsMalaysia dan agensi pekerjaan swasta, Jobstreet," katanya.