Kira-kira 30 buah rumah di Kampung Sri Aman di sini musnah dalam satu kebakaran awal pagi Khamis.

Kejadian yang berlaku kira kira jam 1.30 pagi itu telah memusnahkan rumah jenis tidak kekal yang dibina atas air di perkampungan berkenaan.

Jurucakap pusat gerakan operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata pihaknya menerima panggilan melalui talian MERS999 pada jam 1.33 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Kunak dan Tawau ke lokasi kejadian.

Seramai 24 anggota, diketuai pegawai kanan bomba Fazizul Hizam Borhan bersama dua buah jentera FRT, sebuah water tanker dan dua jentera EMRS ke lokasi berkenaan.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.16 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 5.01 pagi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.