Sebanyak 30 ribu unit Kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi akan diagihkan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata program ini adalah usaha kerajaan untuk membantu penduduk Wilayah Persekutuan menangani denggi daripada terus menular.

25 ribu unit akan diagihkan kepada penduduk di Kuala Lumpur manakala lima ribu lagi untuk penduduk di Putrajaya.

Jelas Tengku Adnan, langkah lebih proaktif perlu dilakukan berikutan peningkatan kes denggi pada tahun ini berbanding tahun lalu.

"Sehingga 2 April 2016, sejumlah 2,347 kes denggi dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada minggu ke 13 tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 22.5 peratus berbanding dengan tahun lepas, manakala di Putrajaya terdapat 131 kes dilaporkan berbanding 45 kes pada tahun 2015 iaitu meningkat 65.6 peratus," katanya dalam ucapan perasmian Projek Komuniti Bebas Denggi 2016 di sini, hari ini.

Kit yang mengandungi losyen penghalang gigitan nyamuk, perangkap nyamuk, buku serta cakera padat panduan pendidikan mengenai denggi ini digunakan bagi mengesan, mengawas dan mengawal pembiakan nyamuk aedes.

Selain daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, program ini juga merupakan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Yayasan Kesejahteraan Bandar.

Kes denggi tertinggi dicatat di Bandar Tun Razak iaitu 432 kes, diikuti dengan Batu (323 kes), Segambut (276 kes), Setiawangsa (227 kes), Seputeh (216 kes), Wangsa Maju (208 kes) Titiwangsa (171 kes), Lembah Pantai (160 kes), Cheras (160 kes), Putrajaya (131 kes) dan Bukit Bintang (72 kes).