Sejumlah 303 tahanan warga Indonesia akan diusir melalui Pelabuhan Tawau esok kerana memasuki Sabah secara tidak sah, tinggal lebih tempoh dibenarkan serta pelbagai kesalahan lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, 563,162 warga asing yang memasuki Sabah secara haram dan pelbagai kesalahan lain telah diusir keluar dari negeri itu.

Jelasnya, berdasarkan data JPM sejak 1990 hingga semalam, majoriti mereka yang diusir adalah warga Filipina dan Indonesia.

"Sehingga 21 November (semalam), seramai 5,392 warga asing yang memasuki Sabah secara tidak sah sedang ditahan di Pusat Tahanan Sementara di seluruh Sabah.

"Bagi 2016, seramai 1,170,686 orang warga asing telah memasuki negeri secara sah dan dari Januari hingga 31 Ogos 2017, seramai 544,644 warga asing masuk ke Sabah secara sah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang bertanyakan jumlah warga asing yang memasuki Sabah pada tahun lalu hingga kini, serta jumlah pelarian Filipina yang masih di bawah pengawasan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Tambah Shahidan, tiada pelarian Filipina yang masih berada bawah pengawasan UNHCR di Sabah ketika ini.