Kompleks Mahkamah Johor Bahru dikawal ketat ketika trak polis yang membawa puluhan ahli kumpulan kongsi gelap 360 dalam keadaan tangan bergari memasuki perkarangan mahkamah.

Malah ahli keluarga tertuduh juga tidak dibenarkan masuk.

Semua 35 individu terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang berusia 20-69 tahun selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Jailani Rahman.

Semua mereka sebelum ini ditangkap dalam operasi khas dengan bantuan Bukit Aman susulan pembunuhan seorang ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember lalu.


BACA: Kongsi gelap berakar umbi lebih 20 tahun 'Geng 360' tumpas

BACA: Lelaki maut ditikam, dilanggar di stesen minyak di Johor Bahru


Mengikut pertuduhan, 34 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jin Jee Tong dan didakwa mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 5 hingga 20 tahun.

Selain itu, seorang lagi didakwa membantu kumpulan terbabit bagi mencapai kepentingan kumpulan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan Akta 574 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.




Kesemua ahli kumpulan berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu diantara 1 Januari 2015 hingga 14 Januari lalu di Johor Bahru.

Mahkamah kemudiaan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.