Kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan pengusaha pusat latihan renang di negara ini dijangka gulung tikar jika tidak dibenarkan beroperasi sehingga Ogos depan.

Menurut Pengarah Urusan Akademi Aquaputra Malaysia, Dollah Said, keadaan itu dijangka berlaku berikutan hampir semua pengusaha mengalami kerugian lebih 70 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Ujarnya, meskipun akur dengan ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan, beliau bersama lebih 50 pengusaha pusat latihan renang seluruh negara memohon supaya pertimbangan semula diberi terhadap aktiviti mereka.

Katanya, mereka melalui Persatuan Menyelamat Akuatik Malaysia mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan penularan COVID-19.

"Persatuan Menyelamat Akuatik Malaysia mengambil langkah proaktif dengan menghantar cadangan SOP itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 3 Mei lalu.

"Mengikut cadangan SOP itu, kita ambil pendekatan '3W' iaitu wash, wear dam warn serta '3S' iaitu elak kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

"Kita juga akan memastikan penggunaan pelitup muka di kawasan yang diperlukan selain menjaga penjarakan sosial. Untuk itu, kita akan tumpu kepada kelas one to one, malah akan dikendalikan oleh jurulatih dari tepi kolam sahaja," katanya ketika ditemu bual Astro Awani.

Ujarnya, langkah yang sama telah diambil oleh pengusaha pusat latihan renang di Australia dan United Kingdom yang diberi kebenaran beroperasi semula.

Sebagai pemain industri, beliau percaya kerajaan sedang merangka SOP terbaik sebelum kebenaran diberikan.