Seramai 354 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Turki ekoran sekatan yang dikenakan oleh kerajaan negara itu susulan penularan pandemik COVID-19 dijangka pulang ke tanah air, pada Jumaat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, berdasarkan perbincangan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakan sejawatannya di Turki pada Selasa lalu, kerajaan negara itu bersetuju membenarkan pesawat Malaysia mendarat di Istanbul dan membawa pulang rakyat Malaysia terbabit.

"Mereka dijadualkan berlepas pulang malam ini (Khamis) dan dijangka sampai di tanah air, kira-kira pukul 10.20 pagi Jumaat.

"Kita mendoakan agar mereka selamat tiba di tanah air seperti yang dijadualkan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Kamarudin menambah, Wisma Putra juga sedang meneliti kaedah terbaik untuk membawa pulang empat wakil Yayasan Amal Malaysia yang menyertai Misi Agihan Al-Quran Wakaf di N’Djamena, Chad.

Antara cadangan itu katanya, adalah termasuk membawa mereka menaiki pesawat sewa khas yang akan turut membawa pulang rakyat Malaysia di beberapa negara Afrika yang lain.

Katanya, faktor ketidakstabilan situasi keselamatan serta masalah logistik menyebabkan cadangan pergerakan melalui jalan darat dari N’Djamena, Chad ke Abuja dan Nigeria, tidak sesuai selain jarak antara kedua-dua bandar tersebut yang jauh iaitu kira-kira 1,200 kilometer.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, kerajaan Bosnia Herzegovina menzahirkan penghargaan ke atas bantuan kemanusian yang diberikan oleh Malaysia.

Penerbangan yang membawa sumbangan itu ujarnya, selamat mendarat di Sarajevo kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan, pada Selasa.

Kamarudin juga memberitahu, atas permintaan Palestin, Malaysia juga bersetuju untuk memberi bantuan kepada negara itu dalam menangani wabak COVID-19.

Sementara itu, tambah beliau, pelajar Malaysia di luar negara dinasihatkan supaya terus berada di kediaman masing-masing di negara berkenaan dan tidak perlu pulang ke tanah air.