KOTA KINABALU:Seramai 36 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang ingin pulang ke asrama dikesan positif COVID-19 sehingga kini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, semua mereka dikesan positif ketika saringan yang dijalankan sebelum dibenarkan pulang ke asrama pada 16 Januari dan kini ditempatkan di pusat kuarantin.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah telah menyediakan perkhidmatan Internet di setiap pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah di seluruh negeri Sabah.

"Pelajar-pelajar yang menjalani rawatan dan tempoh kuarantin boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk menjalankan sesi pembelajaran atas talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media laporan harian COVID-19 Sabah, pada Rabu.

Mengenai status cadangan polis bagi membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer (km) di negeri ini yang sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata ia berikutan keadaan muka bumi Sabah.

"Polis menyarankan supaya radius 10 km ini hanya dipraktikkan di kawasan bandar manakala bagi kawasan luar bandar dan pedalaman, pergerakan adalah dibenarkan dalam lingkungan daerah berkenaan.

"Ini disebabkan oleh keadaan kawasan muka bumi negeri Sabah yang agak luas, dan jarak di antara satu perkampungan di pedalaman ke kawasan pekan baharu atau bandar baharu mungkin melebihi 10km.

"Adalah menjadi harapan kerajaan agar pelaksanaan PKP di negeri Sabah yang telah masuk hari kelapan pada hari ini akan dapat membantu melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sabah bersama Jabatan Kesihatan negeri sentiasa mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh PKP.

Sabah pada hari ini melaporkan 406 kes positif COVID-19, dengan tiga lagi kes kematian.

Antara daerah yang merekodkan penambahan kes positif COVID-19 yang tertinggi ialah Tawau (81 kes), Kota Kinabalu (59 kes), Lahad Datu (53 kes).

Dua kluster baru yang dikesan hari ini ialah Kluster Balibata dan Kluster KKIP Selatan.