Permohonan pembantu rumah asing (PRA) dalam talian, Sistem Maid Online (SMO) merekodkan 111,000 orang pelawat sejak ia mula beroperasi pada 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu, seramai 36 majikan bakal menjadi kumpulan pertama yang mendapat pembantu rumah asing menerusi SMO.

Jelasnya, laman web itu berjalan lancar selain dapat diakses dengan mudah serta pelawat boleh membuat penelitian syarat-syarat sebelum memulakan proses pendaftaran.

"Dalam masa sama majikan yang telah berjaya mendapatkan akses, sehingga malam tadi sebanyak 3,141 untuk mendapatkan pembantu rumah asing mereka.

"Daripada jumlah itu pula, sebanyak 76 pembantu rumah didaftarkan sempurna dari segi rekodnya," katanya semasa sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan dan menyampaikan amanat tahun baru kepada warga Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

BACA: Sistem Maid Online merekodkan 25,719 pelawat sejak mula operasi

TONTON :
Sistem Maid Online lebih cepat, tepat dan jimat

Jelasnya, 36 majikan fasa pertama itu kini hanya menunggu kelulusan saringan kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

"Keputusan saringan kesihatan Fomema akan mengambil masa antara tiga hingga lima hari tetapi bagi peringkat Jabatan Imigresen, urusan dapat disiapkan dalam masa enam hari," ujarnya.

SMO yang disediakan Jabatan Imigresen susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018, Oktober lepas, menyediakan kemudahan kepada majikan untuk memohon PRA secara dalam talian dengan cepat, tepat dan lebih jimat tanpa melalui ejen

Mustafar berkata majikan yang tidak mahu menggunakan SMO masih boleh mendapat khidmat daripada agensi-agensi PRA yang berdaftar.

SMO boleh dilayari di laman web http://maid-online.imi.gov.my.

Dalam perkembangan berkaitan kata Mustafar, jabatannya mahu sasaran yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PEMANDU tahun ini lebih baik dari 2017.

"Pada tahun 2018, Jabatan Imigresen telah diamanahkan dengan empat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang melibatkan dua KPI sedia ada dan dua KPI baharu.

"Antaranya ialah bilangan permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian yang lengkap diluluskan dalam masa sejam (masa bekerja) dengan sasaran 100 peratus pada tahun 2018 berbanding 80 peratus pada tahun 2017.

"Seterusnya kelulusan pas penggajian dalam tempoh lima hari bekerja dengan sasaran 90 peratus bagi 2018 berbanding 80 peratus pada 2017," ujarnya.

Selain itu jelasnya, KPI baharu untuk Imigresen bagi tahun 2018 ialah kelulusan pembaharuan pas penggajian dalam tempoh tiga hari bekerja melibatkan syarikat dalam kategori tier 1 dengan sasaran 90 peratus dan sasaran seramai 30,000 PATI ditangkap pada tahun 2018 melalui operasi penguatkuasaan jabatannya.