Bilangan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) yang ditamatkan perkhidmatan dari Perkhidmatan Awam Pada Tahun 2015 dan 2016 adalah seramai 37 orang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata daripada jumlah itu, 15 pegawai ditamatkan perkhidmatan pada 2015 sementara bakinya pada tahun 2016.

"Selain itu, terdapat juga PPS yang meletak jawatan kerana sebab kesalahan tatatertib, masalah kesihatan dan kompetensi.

"Ia mewakili 221 orang iaitu 118 orang pada 2015 dan bakinya pada 2016," katanya.

Dr Hilmi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai (Amanah) yang mahu tahu jumlah doktor-doktor pelatih (housemen) yang ditamatkan perkhidmatan dalam Kerajaan sepanjang 2015-2016 dn punca-punca penamatan perkhidmatan tersebut.

Sebelum ini, Dr Hilmi mendedahkan 120 orang atau 1.2 peratus daripada kira-kira 10,000 doktor pelatih di negara ini dilaporkan berhenti secara sukarela atau diberhentikan daripada perkhidmatan awam itu tahun lalu.

Jelasnya, latihan perubatan yang sukar menjadi antara punca utama kebanyakan mereka berhenti dari meneruskan latihan pegawai perubatan siswazah berkenaan.

Isu itu timbul apabila Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melahirkan rasa kesal dengan aduan terdapat pengamal perubatan di hospital kerajaan yang terpaksa dibuang kerja berikutan ketidakhadiran ke tempat kerja untuk tempoh masa yang begitu lama.

Beliau berkata mengikut laporan yang diterima dari Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan, ada beberapa pegawai baharu yang menjalani latihan gagal hadir ke tempat kerja untuk tempoh masa lama sehingga mencecah ratusan hari dipercayai kerana tidak dapat menerima tekanan di tempat kerja.