Pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan 377 daripada lebih 4,000 jajaran sungai di negara ini semakin cetek selain mengundang kepada risiko banjir kilat di kawasan-kawasan rendah.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata masalah itu disebabkan kerakusan manusia meneroka kawasan untuk pelbagai tujuan seperti pembangunan, pertanian dan pembalakan.

Malah tegasnya, kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan kawasan rizab yang sepatutnya dijadikan zon tadahan air tidak dipedulikan sebaliknya digondol untuk pembangunan.

"Apabila perladangan, pertanian dan kawasan pembinaan tidak mengambil kira zon tadahan air, mudah selut atau lumpur terus mengalir masuk ke dalam sungai.

"Kalau kita nak selamat semua sungai yang ketika ini menjadi cetek angkara kerakusan manusia, kerajaan perlu memperuntukkan belanja ratusan bilion ringgit untuk berbuat demikian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang mengemukakan rungutan pelbagai pihak apabila kebanyakan sungai di negara ini semakin cetek akibat mendapan lumpur daripada pelbagai kawasan pembangunan sehingga memerlukan kerajaan melaksanakan tindakan menanganinya.

Selain itu, Wan Junaidi dalam nada kecewa menjelaskan bahawa masyarakat sering kali menunding jari kepada kerajaan apabila wujud konsesi yang diberikan hak untuk menuai pasir sungai di muara.

"Salah persepsi ini kerana mereka dibiarkan jual (ambil) pasir, namun sebagai pulangan kita tidak membayar perkhidmatan mendalamkan dasar sungai.

"Bagaimanapun, isi padu dan tempoh operasi menuai pasir tidak dilaksanakan secara membuta tuli, sebaliknya dikendalikan mengikut perjanjian tertentu," katanya.