Seramai 39 pelajar dikesan mengalami simptom muntah dan sesak nafas yang melibatkan lima buah sekolah di Pasir Gudang, pagi Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan Dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata, lima sekolah terbabit ialah SK Tanjung Puteri Resort seramai 30 pelajar, SK Kopok (6 pelajar), SK Kota Masai,(1 pelajar), SK Pasir Gudang 4 (1 pelajar) dan SMK Tanjung Puteri Resort (1 pelajar).

Katanya, sehingga jam 2 petang tadi, 39 pelajar mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah.

"Kesemua mereka telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai. Walau bagaimanapun, tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan susulan.

"Jabatan Kesihatan telah mengambil sampel air kencing pelajar-pelajar terbabit untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah-muntah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah memandang ringan mengenai kes yang berlaku di Pasir Gudang seperti dakwaan sesetengah pihak.

"Sehingga hari ini agensi-agensi terlibat sentiasa mengadakan pemantauan dari masa ke semasa, termasuk pemantauan berterusan kualiti udara di Pasir Gudang.

"Malah, saya dimaklumkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang," katanya.