39 individu termasuk tiga wanita ditahan dalam Ops Sepadu yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di kawasan yang sering menjadi lokasi penagih dadah di Bakau Tua, Penaga di sini semalam.

Jurucakap AADK negeri berkata dalam operasi bermula 10 malam itu, pihaknya menahan mereka yang berusia daripada 17 hingga 70 tahun di kawasan berkenaan dalam keadaan khayal kerana di bawah pengaruh dadah.

"Ada beberapa penagih cuba melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa AADK namun kami berjaya menahan mereka kerana kami terlebih dahulu mengepung kawasan berkenaan. Seramai 31 penguatkuasa AADK terlibat dalam operasi itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang ditahan itu bekerja sebagai nelayan serta buruh dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

Katanya semua mereka direman untuk siasatan lanjut dan pihak AADK akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa di lokasi penagih dadah di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan empat individu termasuk seorang wanita, berusia 37 hingga 59 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ujung Batu, Butterworth dekat sini pada Isnin.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis merampas empat paket lutsinar dan lima keratan straw berisi dadah jenis heroin seberat 20 gram bernilai RM600 dan dipercayai mereka menjadikan kediaman tersebut sebagai lokasi jual beli serta menghisap dadah," katanya.

Noorzainy berkata ujian air kencing mendapati mereka yang tidak bekerja itu positif dadah dan turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata semua mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA