Seramai 393 pendatang tanpa izin (PATI) dan 72 tekong ditahan kerana cubaan memasuki sempadan negara secara haram terutama di lorong tikus.

Operasi Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu turut menahan 11 individu yang disyaki penyeludup serta 12 kapal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sentiasa memantau dan meningkatkan kawalan di kawasan sempadan negara terutama di lorong tikus.

"Agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 132 PATI, lima tekong serta 17 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara.

"Operasi bersepadu juga telah berjaya menahan 1,517 warganegara asing yang telah menceroboh sempadan negara," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

Justeru tegas Ismail Sabri, pihak berkuasa sentiasa komited memperketatkan kawalan di sempadan bagi memastikan tiada kemasukan PATI ke negara ini.