Kira-kira 4,300 pelajar di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini berada dalam keadaan selamat dan terkawal, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, pelajar terbabit yang menghuni 15 kolej kediaman UUM, tidak dibenarkan pulang ke kampung masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini.

Bekalan makanan dan kemudahan rawatan kesihatan juga dapat diakses dengan baik di dalam kampus itu, katanya sambil meminta waris para pelajar berkenaan supaya tidak terlalu risaukan keadaan mereka.

"Berada di kampus adalah terbaik bagi pelajar... selagi berada di (kampus) sini, saya rasa (mereka) lebih terjamin," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menyumbangkan bekalan makanan daripada Pejabat Menteri Besar kepada pihak UUM hari ini.

Sumbangan bernilai RM20,000 yang berupa makanan kering dan keperluan asas itu diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali.

Hendrik pula berkata 90 peratus pelajar yang berada di dalam kampus UUM adalah pelajar tempatan dan bakinya merupakan penuntut antarabangsa.

"Kami mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan dengan memastikan jabatan-jabatan kritikal seperti Pusat Kesihatan Universiti serta unit penyelenggaraan beroperasi.

"Pihak universiti juga akan memastikan pelajar mendapat makanan percuma tiga kali sehari dan berusaha memenuhi keperluan pelajar. Jadi, kami tidak nampak mengapa pelajar perlu keluar kampus," katanya.

Selain itu, UUM juga menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman serta mengadakan kempen serta rondaan berkala dengan kerap supaya pelajar peka dengan situasi semasa dan memastikan keselamatan mereka. - BERNAMA