Empat lelaki warga India masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu pemeriksaan polis, Rabu lepas.

S Muthumari, 37; U Ramamoorht, 28; M Dhanushkodi, 41, dan M Lakshmanan, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf, selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dikesan berada dalam keadaan mabuk dan mencurigakan di tepi Jalan Besar Pusing iaitu di kawasan jangkitan COVID-19, kira-kira 10 malam, Rabu lalu.

Pemeriksaan polis kemudian mendapati mereka gagal memberikan penerangan munasabah berhubung tindakan melakukan pergerakan meninggalkan kediaman.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib.

Di mahkamah sama, seorang peniaga ikan, Saiful Anuar Mokhatar, 42, turut didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bergerak dari Kampung Tersusun Batu 6, Jalan Tanjung Tualang ke Kampung Bakap Baru pada jam kira-kira 10 malam, Rabu lepas.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan manakala beberapa lagi individu sempat melarikan diri selepas polis menghampiri sebuah pondok tempat mereka berkumpul.