Seramai 40 pasangan di Johor dibenarkan bernikah selepas tertunda hampir dua bulan ekoran penularan COVID-19.

Kesemua pasangan tersebut dinikahkan secara ringkas bertempat di Majlis Agama Islam Johor (MAINJ).

Tinjauan Astro AWANI mendapati hanya pasangan, wali dan saksi dibenarkan hadir di majlis yang penuh sederhana dan semua pasangan dinikahkan oleh Imam Besar Johor, Makhadzir Abdan Al hafiz dan Ustaz Abu Bakar watak.

MAINJ turut dua buah bilik bagi melaksanakan majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Tosrin Jarvanthi,seramai 826 pasangan di Johor terpaksa menundakan pernikahan masing-masing sejak 18 Mac hingga 28 April bulan lalu.

Kesemua pasangan itu jelasnya akan dinikahkan secara berperingkat dengan peraturan ditetapkan.

"Apabila telah diperkenankan Duli Maha Mulia Tuanku untuk pasangan muda di Johor dibenarkan bernikah saya mendapat panggilan SMS yang begitu menggalakan dari pasangan dan bapa pengantin.

"Mereka memgucapkan syukur kerana hajat mereka untuk menjalankan akad nikah yang telah dirancang sejak sekian lama dimakbulkan.

"Jumlah pasangan yang telah dilukuskan untuk bernikah ialah 826 pasangan dalam tempoh PKP," katanya.

Bagi pasangan Mohd Khairani Sakiran dan Noraini Tosri, mereka tetap bersyukur walaupun segala persiapan termasuk cenderahati untuk tetamu telah disiapkan.

"Majlis sebenarnya sudah buat persiapan awal, semua sudah siap tetapi bila ada penangguhan ini kita kena sabarlah.

"Kita pun tak nak ambil risiko, jadi majlis kita ikut perintah kerajaan, Alhamdulilallah dimudahkan," kata Noraini.

Manakala bagi Mohd Afiq Abu Bakar turut mengambil keputusan melakukan perkara wajib terlebih dahulu dan menangguhkan majlis yang dirancang.

"Perancangan nikah sepatutnya 3-4 bulan lepas tetapi tertangguh lebih sebulan. jadi tangguh, benda pertama macam terkejut tapi seelpas bincang dengan keluarga, kita selesaikan yang wajib dahulu.

"Rasa terkejut tiba-tiba terkena macam ini tapi bersyukur dapat nikah dan majlis bersanding insya-Allah akan datang," katanya.