Keseronokan 40 pelancong China yang pulang daripada melawat destinasi menarik di Kundasang, Ranau hampir bertukar tragedi apabila bas persiaran dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Tamparuli-Ranau, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang Ahad itu, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku berikutan semua mangsa berjaya menyelamatkan diri termasuk pemandu bas dan dua pemandu pelancong sebaik menyedari berlaku kebakaran.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohd Abdul Qawie Abdul Gapar, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.42 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak 15 kilometer dari balai untuk operasi memadam dan menyelamat.

Keadaan bas persiaran yang terbakar dalam kejadian di Jalan Tamparuli-Ranau, Tuaran. - Astro AWANI
"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai tujuh anggota digegaskan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang awam.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini melibatkan sebuah bas persiaran jenis Nissan dimiliki sebuah syarikat agensi pelancongan terbakar di lokasi itu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Difahamkan, ada 40 penumpang dari China yang pelbagai lapisan umur menaiki bas itu dan mereka berjaya keluar dengan selamat," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, Bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran bas dan operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 8.48 malam.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bomba.