Polis Diraja Malaysia (PDMR) menahan seramai 410 lagi individu kerana melanggar arahan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat yang juga Hari Pekerja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 683 tangkapan pada hari sebelumnya (Khamis).

"Ia merangkumi 372 individu yang direman dan 38 individu dijamin polis. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 1 Mei 2020 (semalam) adalah sebanyak 23,266 individu," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 820 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 486,307 kenderaan.

Menurut beliau, sebanyak 35,834 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 7,605 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai oeperasi sanitasi, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melaksanakan 5,136 nyah cemar termasuk di 83 kawasan di zon kuning dan zon merah di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, proses nyah cemar itu termasuk 22 zon merah dan kuning membabitkan enam negeri yang telah disanitasi semalam.

"(Setakat 30 Mac) Sebanyak 8,769 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah disanitasi.

"Semalam (1 Mei), sebanyak 67 operasi sanitasi meliputi 22 Zon Merah dan Kuning di enam negeri, termasuk 33 operasi di Johor dan 12 operasi di Sabah.

"Sehingga kini, operasi sanitasi telah merangkumi 2,828 bangunan kerajaan, 1,983 tempat awam, 2,134 pusat perniagaan, 1,519 kawasan perumahan termasuk PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan 305 pasar raya," tambah beliau lagi.