Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 43 kes positif membabitkan kluster dalam pemantauan (PUI) Bali di sebuah pusat perubatan di Kuantan, setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, 30 individu sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sembilan telah sembuh manakala seorang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes indeks iaitu kes ke-4,684 bagi kluster itu mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia dan kemudian berkontak rapat dengan kes ke-1,575 iaitu abang kepada kes indeks.

"(Sementara) tiga orang telah meninggal dunia iaitu kes ke-1575, kes ke-5064 dan kes ke-4129.

"Sebanyak 2,301 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan, melibatkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan tersebut.

"Daripada 43 kes yang disahkan positif di dalam kluster ini, sebanyak sepuluh orang adalah anggota kesihatan pusat perubatan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, langkah-langkah kawalan penularan jangkitan COVID-19 sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat KKM, termasuk proses dekontaminasi dan pemindahan pesakit ke hospital-hospital KKM yang berdekatan.

Langkah tersebut ujarnya, untuk memastikan pusat perubatan tersebut selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan COVID-19.