Sebanyak 43 lagi pusat pemindahan mangsa banjir (PP) di daerah Kuching, Serian, Bau dan Samarahan ditutup pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata sehingga pukul 8 pagi sejumlah 2,366 orang mangsa daripada 668 keluarga masih berada di 15 pusat pemindahan berbanding 4,251 orang daripada 1,176 keluarga malam tadi.

Katanya 15 buah PP yang masih dibuka ialah lima di Kuching, lapan di Serian dan masing-masing sebuah di daerah Bau dan Samarahan.

Beliau berkata lima pusat pemindahan yang masih aktif di daerah Kuching menempatkan 850 mangsa daripada 201 keluarga, manakala di Serian terdapat 1,413 mangsa daripada 439 keluarga.

“Di Samarahan pula terdapat 80 orang mangsa daripada 24 keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan sementara di daerah Bau, sebuah PP yang masih aktif dengan 23 mangsa daripada empat keluarga,” katanya.