MIRI: Program Imunisasi Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Bekenu, di sini berjalan lancar hari ini.

Fasa pertama melibatkan 432 petugas barisan hadapan itu dijadual berlangsung selama dua hari.

Kesemua petugas barisan hadapan itu menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-bioNTech

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata pelaksanaan program vaksin ini dilakukan dengan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Subis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Melihat kepada pergerakan awal pagi tadi, semuanya berjalan dengan lancar secara berperingkat dengan penerangan yang jelas dan ringkas dari pihak doktor.

“Fasa pertama ini akan menggambarkan kelancaran untuk fasa kedua dan ketiga yang akan diadakan kelak juga di sini,” katanya semasa di temui Astro Awani di Pusat Khidmat DUN Bekenu pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Muda kebajikan Kesejahteraan Komuniti Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey berpesan agar masyarakat tidak terlalu cepat membuat kesimpulan untuk segala berita negatif mengenai vaksin.

“Setiap maklumat mesti ada kajian yang saintifik dan daripada sumber yang dipercayai terutama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”

“Kalau orang takut untuk mengikuti program vaksinasi ini, lihatlah contoh-contoh petugas barisan hadapan juga barisan pemimpin Sarawak yang sudah divaksin, sehingga hari ini kesihatan mereka masih terjamin,” ujarnya lanjut.

PPV Dewan Masyarakat Bekenu adalah lokasi ke lima mengadakan program vaksinasi di bahagian Miri selepas Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri, Dewan Suarah Marudi, dan Hospital Miri yang telah bermula semalam.

Antara wakil rakyat yang divaksin hari ini ialah Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, pegawai daerah Subis dan Beluru serta kakitangan kerajaan yang merupakan petugas barisan hadapan.

Program ini diketuai oleh Ketua Program Vaksin Daerah Subis, Dr Monica Tan Joe Yng, yang bermula sekitar jam 9 pagi tadi sehingga 4 petang ini.

Untuk rekod daerah Subis mempunyai penduduk seramai 58,000 orang.

4 Mac lepas, 16,380 dos vaksin untuk dos pertama dan dos kedua telah tiba di Pejabat Farmasi Bahagian Miri untuk digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan di wilayah utara Sarawak.

Jumlah ini melibatkan 11,700 dos untuk bahagian Miri dan 2,340 dos masing-masing di bahagian Limbang dan Bintulu.