Di sebalik kadar celik huruf yang tinggi di negara ini, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) mendapati setakat 2009, kira-kira 44,000 kanak-kanak dalam usia persekolahan tidak pernah bersekolah.

Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Wakil UNFPA bagi Malaysia, Michele Gyless-McDonough berkata perkara ini memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka dan mewujudkan keadaan yang lebih sukar untuk diatasi, berbanding usaha mengelak masalah itu pada peringkat awal.

"Kadar celik huruf dalam kalangan anak muda adalah lebih 97 peratus dan 98 peratus anak muda kita berkata mereka mempunyai akses kepada Internet," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran Laporan Penduduk Dunia 2014 bertajuk 'Kuasa 1.8 Bilion: Remaja, Belia dan Transformasi Masa Depan' di Wisma UN, di sini Selasa.

Beliau juga menyentuh tentang sejumlah besar rakyat Malaysia yang berkahwin pada usia muda dan belum bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Katanya lebih 150,000 rakyat Malaysia berkahwin pada usia terlalu muda iaitu bawah 19 tahun dan mengorbankan peluang mereka untuk mendapat pendidikan serta menjadi sebahagian daripada kumpulan tenaga kerja produktif di sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Berkahwin awal menafikan hak asasi anak muda untuk mencapai potensi mereka dan oleh itu pilihan lebih baik perlu diwujudkan untuk belia Malaysia.

"Laporan Kemajuan Negara UNGASS 2010 menunjukkan bahawa pada 2009, 477 remaja perempuan berusia bawah 19 tahun mengandung dan mendapatkan perkhidmatan di klinik ibu dan kanak-kanak Kementerian Kesihatan di seluruh negara," katanya.

Beliau juga berkata dua kes baharu wanita dijangkiti virus HIV dilaporkan di Malaysia setiap hari, dengan wanita dan remaja perempuan merangkumi 18 peratus daripada jumlah mereka yang baru dijangkiti virus itu pada 2009, berbanding empat peratus pada 1996.

Kata beliau kini lebih 8.4 juta atau 30 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan muda berusia 10 hingga 24 tahun.

"Kita perlu mencipta peluang untuk membolehkan golongan muda mendapat tempat sebagai pemimpin, pembawa pembaharuan, ejen perubahan dan usahawan pada masa akan datang serta menghapuskan semua kelemahan, setiap cerutan yang boleh menggagalkan kehidupan anak muda," kata McDonnough.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Napsiah Omar berkata berikutan jumlah anak muda yang semakin meningkat, Malaysia perlu memberi perhatian terhadap pendidikan berkualiti tinggi dan penjagaaan kesihatan secara menyeluruh.

Katanya langkah perlu diambil bagi membentuk dan mempersiapkan generasi muda untuk menjadi pemimpin dan pembentuk masa depan dengan wujudnya 'dividen demografik' apabila wujudnya keadaan penduduk dalam usia bekerja bertambah lebih banyak daripada penduduk daripada bukan usia bekerja untuk mewujudkan ekonomi lebih produktif.

"Untuk mewujudkan dividen ini, kita perlu memastikan golongan muda sihat dan berpendidikan tinggi serta dilengkapi kemahiran yang diperlukan.

"Pendidikan adalah alat yang sangat penting bagi membolehkan negara ini mencapai tahap pembangunan lebih tinggi.

"Pada waktu sama, kita perlu memberi lebih banyak penekanan terhadap usaha merangsang pertumbuhan ekonomi secara pesat dan inklusif untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada pekerjaan, perkhidmatan kewangan dan blok ekonomi lain," katanya.