Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan 44 orang individu disyaki menjadi keldai akaun atau 'mule account' selepas akaun mereka terlibat dalam kes jenayah siber, dalam Operasi Mule Account Siri 1/2018.

Pengarah JSJK Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 17 lelaki dan 27 wanita berumur 21 hingga 27 tahun itu mempunyai rekod kes jenayah siber berulang melebihi lima laporan polis.

"Operasi berkenaan dijalankan serentak di seluruh negara dengan menyasarkan pemilik akaun yang mempunyai lebih daripada lima laporan polis melibatkan tiga modus operandi jenayah siber iaitu Macau Scam, African Scam dan E-Financial Fraud.

"Kebanyakan pemilik akuan yang ditahan terdiri daripada wanita yang rata-rata mempunyai hubungan dengan dalang selain daripada pelajar, suri rumah atau penganggur dan terlibat dalam 319 kertas siasatan jenayah siber membabitkan kerugian berjumlah RM17.29 juta," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Amar Singh, 'keldai akaun' merupakan akaun milik individu yang telah disalah guna oleh sindiket atau 'scammer' bagi menjalankan sebarang transaksi tanpa atau diketahui oleh pemilik.

Katanya kebanyakan dalang kegiatan jenayah siber ini adalah warga asing yang memerlukan individu tempatan sebagai 'orang tengah' atau keldai akaun bagi mendapatkan akaun untuk melakukan transaksi pemindahan wang melaui akaun.

"Ada di antara keldai akaun ini diberikan ganjaran dari segi wang dan barangan berharga selain dikaburi dengan 'hubungan cinta' oleh dalang utama bagi memujuk mereka memberikan maklumat peribadi bagi tujuan membuka akaun yang dijadikan sebagai transit pemindahan wang dalam kegiatan jenayah siber," katanya.

Amar Singh berkata semua suspek akan dihadapkan ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA