Seramai 790,186 rakyat negara ini dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata lebih separuh daripadanya disebabkan masalah dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu 447,890 orang.

Selain itu, katanya, 138,028 orang merupakan disenarai hitam oleh Jabatan Insolvens dikuti Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) (107,884), Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) (7,024), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) (6,091) Jabatan Imigresen (1,543) dan 81,726 orang melibatkan agensi-agensi lain.

Justeru, bagi mengelakkan masalah senarai hitam memberi kesan kepada kelancaran perjalanan penumpang ke luar negara, Jabatan Imigresen menyediakan perkhidmatan kiosk pra-semakan senarai hitam bagi membolehkan penumpang membuat semakan sebelum berlepas.

Ketika ini, Jabatan Imigresen menyediakan tiga kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk rakyat Malaysia menyemak status mereka sebelum ke luar negara.

“Kita menyediakan kemudahan kerana Imigresen percaya dengan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik. Kita melihatkan apa lagi kemudahan yang boleh diperbaharui untuk menyediakan kecekapan perkhidmatan.

“Jangan sampai nanti mereka sampai ke kaunter Imigresen barulah tahu ada sekatan,” ujar Mustafar.

Jelas beliau, pihaknya menyediakan kemudahan itu supaya boleh diakses orang ramai sebelum mereka sampai ke kaunter Imigresen, seterusnya semakan secara proaktif dapat dibuat.

“Kalau mereka tersekat, maka mereka boleh datang berjumpa dan menghubungi pejabat itu,” ujar Mustafar.
Menurutnya, semakan sebelum daftar masuk dapat mengelakkan sebarang penangguhan masa berlepas.

Mustafar berkata, selain mereka yang disenarai hitam, teknologi kiosk berkenaan turut mengesan masalah berkaitan pasport seperti pasport yang dibatalkan, tamat tempoh, hilang dan sah kurang daripada enam bulan, selain pasport yang dimiliki lebih daripada satu suspek.

Beliau berkata, kiosk berkenaan turut ditempatkan di KLIA2 dalam tempoh sebulan dan bercadang memperluaskannya ke lapangan terbang antarabangsa lain.

Kita bekerjasama baik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Majlis Operasi Penerbangan (AOC) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di lapangan terbang.