Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 45 individu terdiri daripada 38 warga asing dan tujuh warga tempatan dalam Op Gegar di sebuah pusat pelacuran dikenali sebagai 'Rumah Merah' yang berfungsi khas untuk warga asing di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

JIM dalam kenyataan pada Sabtu berkata, daripada jumlah keseluruhan individu yang ditahan, 34 individu merupakan wanita warganegara asing iaitu 24 warga Indonesia, tujuh (India) dan tiga (Bangladesh).

"Turut ditahan ialah empat lelaki warga asing terdiri daripada dua warga Bangladesh, masing-masing seorang lelaki warga India dan Indonesia yang merupakan pelanggan di premis pelacuran yang diserbu.

"Seramai tujuh lelaki warganegara Malaysia yang bekerja sebagai penjaga di premis tersebut turut ditahan," katanya.

Menurut kenyataan itu, serbuan berkenaan turut merampas wang tunai sebanyak RM1,800 disyaki hasil kutipan daripada aktiviti pelacuran. Premis berkenaan menjadi tumpuan kerana bayaran yang dikenakan agak murah iaitu RM30 hingga RM40 bagi tempoh 15 minit.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, tambahnya.

Jelas kenyataan itu, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya lagi.

Tambah JIM, serbuan berkenaan turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memecahkan pintu-pintu premis tersebut.

Pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan yang sah dan juga sebarang papan tanda tetapi telah melakukan modifikasi dan pengubahsuaian dari segi bilik-bilik, pintu dan tangga rahsia dan sebagainya.

-- BERNAMA