45 individu ditahan terlibat dadah sekitar ibu kota

45 individu ditahan terlibat dadah sekitar ibu kota
Sebahagian daripada pengedar dan penagih dadah yang ditahan dalam Op Tapis di sekitar ibu kota. - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Seramai 45 individu melibatkan pengedar dan penagih dadah ditahan dalam lima serbuan di ibu negara bermula 24 hingga 26 April lalu.

Op Tapis yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Dang Wangi itu bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar ibu kota membabitkan kawasan Chow Kit, Tiong Nam, Bukit Bintang, Pudu dan San Peng.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, seramai 50 individu diperiksa termasuk enam wanita sebelum 45 daripada mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Lima individu termasuk dua wanita tempatan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah dan rampasan sebanyak 31 paket heroin seberat 107.69 gram dibuat.

“Enam individu bersama seorang wanita tempatan ditahan mengikut 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis menemui dua paket heroin seberat 5.1g, 50 biji pil Erimin 5 (15g), 42 biji pil ekstasi serta satu plastik berisi serbuk ekstasi (30.3g).

“Manakala 11 lelaki termasuk seorang warga Myanmar ditangkap mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan kami merampas 10 paket heroin seberat 21.15g,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Rudy berkata, pihaknya turut menahan seramai 19 individu termasuk tiga wanita mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan merampas 14 paket heroin (2.38g) serta 11 paket methaphetamine (8.4g).

Tambah beliau, selebihnya ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini telah direman.




Tag: pengedar, penagih, dadah, serbuan, Op Tapis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Dang Wangi, Rudy Abdullah, Akta Dadah Berbahaya 1952, Myanmar, heroin, methaphetamine


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.