47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja dijangka pulang mulai esok

47 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja dijangka pulang mulai esok
Seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja telah dibebaskan dan dijangka pulang ke Malaysia mulai esok. -Gambar fail
KUANTAN: Seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja telah dibebaskan dan dijangka pulang ke Malaysia mulai esok.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata tumpuan utama kerajaan pada masa ini diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua mereka dengan segera dan selamat.

Proses itu bagaimanapun mengalami sedikit kesulitan apabila ada antara mereka ketiadaan pasport akibat diambil pihak tertentu dan Kementerian Luar telah mengeluarkan sijil khas pagi tadi bagi tujuan membawa mereka balik menggunakan kapal terbang.
“Pada pagi tadi jam 8.30 waktu Kemboja, ada penerbangan Air Asia dan 38 kerusi telah ditempah untuk membawa mereka pulang. Tetapi malang kerana ada beberapa urusan pentadbiran dan logistik yang belum selesai lalu mereka tak sempat dibawa balik.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk melihat jika ada pilihan lain untuk membawa mereka pulang atau sekiranya pada hari Isnin ada cukup tempat duduk untuk membawa kesemua mereka pulang,” kata Saifuddin.

Beliau menambah bahawa kerajaan Kemboja memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan berusia di antara 19 dan 44 tahun dipercayai diperdaya taktik licik sindiket yang menjadikan keluarga miskin luar bandar sebagai sasaran utama.

Mereka dibebaskan lewat petang Jumaat selepas beberapa rundingan dibuat di antara kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat perdana menteri Kemboja, Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.