Seramai 48,424 mangsa yang terjejas akibat banjir besar yang melanda Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lalu menerima bayaran secara sekali bayar RM700 bermula semalam dan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, bayaran itu dibuat secara kredit terus ke dalam akaun bank 41,892 mangsa membabitkan peruntukan RM29,324,400.

"Baki 5,925 mangsa dibayar secara tunai dalam satu majlis khas yang diadakan serentak di lima daerah di negeri itu, pada Sabtu membabitkan RM4,147,500," katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.

Guan Eng berkata, bantuan berkenaan sebahagian daripada program "Pulau Pinang Bangkit" yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk membantu penduduk yang terjejas dalam bencana yang melanda awal bulan lalu.

"Kerajaan negeri menerima 52,950 permohonan menerusi program itu, namun 1,316 daripadanya terpaksa ditolak."

"Ini berikutan berlaku pertindihan permohonan di mana setiap isi rumah yang terjejas hanya dibenarkan membuat satu permohonan sahaja," katanya lagi.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, kerajaan negeri masih lagi mempertimbangkan sejumlah 3,210 permohonan lain, kerana memerlukan siasatan lanjut selain dokumentasi yang tidak lengkap.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih lagi menunggu sumbangan daripada Kerajaan Pusat yang masih belum diterima sehingga kini.

"Kita telah berikan bantuan tapi kerajaan negeri masih tunggu bantuan daripada kerajaan pusat.

"Kita harap mereka boleh buat pembayaran, sehingga sekarang tidak ada apa-apa. Kepada mereka yang tak dapat bantuan hari ini boleh datang ke pejabat daerah pada hari Isnin bagi penerima yang tidak dapat hadir hari ini," katanya.

Awal November lalu, hampir seluruh Pulau Pinang dilanda banjir besar dan ribut taufan yang menyebabkan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan.

Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan program 'Pulau Pinang Bangkit' bagi pemulihan dan pembinaan semula kehidupan rakyat pasca banjir serta ribut yang disifatkan terburuk dalam sejarah Pulau Pinang.