483 orang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah didakwa di mahkamah setakat 2 April 2020, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, 524 individu yang ingkar perintah berkenaan telah ditahan semasa sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berharap peratus tangkapan individu ingkar PKP akan menunjukkan tren penurunan.

"Kalau lihat dari segi perbandingan tangkapan 2 April ialah 524 ,1 April ialah 562, jadi ada penurunan 6.2 peratus tangkapan. Semalam penurunan 3.2 peratus. hari ini meningkat kepada 6.8 peratus. Jadi, harapan ialah agar tren penurunan berterusan," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

PDRM dan ATM telah melakukan 737 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan ke atas 403,336 kenderaan.

"Mereka juga melakukan 25,614 pemeriksaan mengejut iaitu termasuk 4,564 di premis tertentu," ujarnya.

Dalam pada itu, bagi sanitasi awam pula, langkah itu dilakukan secara berterusan.

"Sejak 27 Mac hingga semalam, 371 kawasan telah dinyah cemar," ujarnya.