Seramai 49 orang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) yang kebanyakannya warga Filipina ditangkap dalam Operasi Bersepadu Khas ketiga yang dilancarkan di kawasan pusat bandar Lahad Datu petang semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Datuk Abd Rashid Harun berkata warga asing itu, termasuk 20 lelaki dan 29 wanita, ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, dan mereka telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata operasi sejam bermula 4.30 petang dilakukan bersama Pejabat Daerah Lahad Datu yang tertumpu di kawasan pasar ikan itu melibatkan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan yang diterajui ESSCOM dan bahagian penguatkuasa Pejabat Daerah Lahad Datu.

"Pendatang tanpa izin termasuk yang menjalankan perniagaan haram di kawasan pasar ikan Lahad Datu, biasanya melarikan diri setiap kali operasi memburu PATI dilaksanakan.

"Inilah modus operandi mereka (PATI) untuk mengelak daripada dikesan. Sebab itu, kita lancarkan operasi bersepadu ini secara berterusan bagi memastikan Lahad Datu benar-benar bersih daripada PATI...ternyata strategi ini mengena kerana ada sahaja PATI yang ditangkap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pati
Antara PATI yang ditahan semasa operasi

Abdul Rashid berkata operasi berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) secara berperingkat.

Sebelum ini, katanya dua operasi yang serupa dilancarkan di kawasan bandar Lahad Datu yang menyaksikan 67 orang PATI kesemuanya ditahan.

Operasi membanteras PATI itu merupakan antara langkah drastik yang diambil oleh kerajaan susulan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah yang dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) baru-baru ini yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.