Tiga lelaki parah selepas kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Apin-apin, pagi tadi.

Mangsa Anderson Ng Kah Hou, 20, Alex Chong, 19 dan Brandon Pan Jian Wen, 20, parah selepas kenderaan mereka terbabas lalu terbalik dalam kejadian berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-apin Keningau itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Jamulis Amputung, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.58 pagi sebelum dua jentera dengan kekuatan lima anggota dikerahkan ke lokasi.

"Pihak bomba menerima makluman berhubung kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi yang terbabas sendiri lalu terbalik ini pada jam 5.58 pagi tadi dan terdapat 3 orang mangsa lelaki terlibat.

"Kejadian itu menyebabkan dua orang mangsa tersepit manakala seorang lagi mangsa tercampak keluar daripada kenderaan, kesemua mangsa mengalami cedera parah," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, sejurus selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba telah memberikan rawatan awal kepada mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Keningau menggunakan jentera EMRS dan ambulan untuk mendapatkan rawatan.

Operasi tamat pada jam 6.56 pagi.