Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Sarawak merampas 5.38 juta batang rokok dan lebih 3.8 juta liter minuman keras selain sebuah lori dan satu unit kontena 20 kaki di sebuah gudang usang di Jalan Nyigu pada pagi Khamis.

Dalam serbuan pada 11.00 pagi itu, pasukan penguatkuasaan JDKM Bintulu dan Miri yang dibantu Cawangan Risikan Kuching telah menjumpai sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak lulus kastam dianggarkan bernilai RM4,559,348.31.

Pengarah JDKM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pemeriksaan mendapati rokok dan minuman keras pelbagai jenama tersebut disyaki tidak lulus kastam disembunyikan di dalam sebuah setor gudang berkenaan.

"Sebanyak 5.38 juta batang rokok, 3,890.88 liter minuman keras, sebuah lori berkunci dan satu unit kontena berukuran 20 kaki dan lori lock van yang berada dalam gudang berkenaan telah disita."

'Anggaran keseluruhan nilai dan cukai barang kes yang di sita ialah RM4.6 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, barang kes telah disita dan dibawa ke pejabat penguatkuasaan Sibu untuk tindakan lanjut.

"Saya percaya premis gudang usang dan tidak bernama itu telah dijadikan sebagai setor penyimpanan rokok dan minuman keras tidak lulus kastam bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," jelasnya.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika disabit kesalahan, (kesalahan pertama) pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.