KUALA LUMPUR:Lima pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dikesan dijangkiti COVID-19 selepas menjalani ujian calitan pada Selasa, selepas terlibat dalam sesi pendaftaran semula atlet-atlet yang balik bercuti hujung tahun lepas

Dua daripada pegawai yang dijangkiti itu bagaimanapun dipercayai mendapat jangkitan dari luar, iaitu bukan ketika sesi pendaftaran itu.

Ujian tersebut dilaksanakan ke atas 75 pegawai MSN selepas tujuh atlet dan seorang pegawai sukan didapati positif COVID-19 selepas pulang bercuti.

Mereka yang telah disahkan positif sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi berkata MSN juga mengarahkan pegawai yang mungkin mempunyai kontak rapat dengan pegawai yang telah disahkan positif untuk menjalani kuarantin diri di rumah selama 10 hari.

"Mereka yang terlibat juga akan menjalani ujian calitan pada hari kesembilan untuk pegesahan bebas daripada jangkitan tersebut.

"Pada masa sama, atas nasihat KKM tempat bertugas pegawai yang disahkan positif akan ditutup untuk proses sanitasi," katanya.