SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Siapa pun berhak beri komen - Latheefa Koya

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyifatkan semua pihak berhak menyuarakan pendapat berhubung tindakan agensi itu membuat pendedahan audio mengenai konspirasi jenayah peringkat tertinggi semalam.

Pendedahan sembilan klip rakaman audio berhubung dakwaan konspirasi pecah amanah, salah guna kuasa, serta pemalsuan bahan bukti dilakukan demi kepentingan awam.

Menurut beliau, tindakan itu penting untuk dilakukan bagi memastikan tahap integriti serta ketelusan badan seperti SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak lagi dipersoalkan pihak tertentu.

Astro AWANI akan cuba mendapatkan komen individu yang dikaitkan dengan rakaman jenayah konspirasi seperti didedahkan SPRM.



2. Bedilan roket di Baghdad

Ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa Iran sudah bertenang daripada provokasi, dua roket Katyusha dilapor dibedil ke kawasan Green Zone di Baghdad.

Bedilan roket itu menyebabkan letupan dan kebakaran di kawasan yang menempatkan bangunan kerajaan dan kedutaan asing.

Salah satu roket tersebut dilaporkan jatuh 100 meter dari kedutaan Amerika Syarikat.



3. Influenza A: KPM terima laporan penutupan sekolah

Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar yang disahkan positif influenza A.

Kementerian kini meneliti perkembangan terkini wabak itu di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

Dalam perkembangan sama, dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, Pulau Pinang ditutup 11 hari bermula semalam selepas 19 muridnya dijangkiti virus Influenza A.



4. Jokowi tegaskan Kepulauan Natuna milik Indonesia

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menegaskan wilayah Kepulauan Natuna merupakan kawasan republik itu.

Kepulauan tersebut beserta perairannya termasuk dalam daerah Natuna, Kepulauan Riau, di sebelah utara.

Ia susulan tindakan yang disifatkan provokasi daripada China kebelakangan ini yang menceroboh perairan negara itu.



5. Sukan

Carabao Cup

Leicester City 1 - 1 Aston Villa


Coupe de la Ligue

PSG 6 - 1 St Etienne


Supercopa de Espana

Valencia 1 - 3 Real Madrid