SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Koronavirus: Kedutaan Malaysia di Beijing hantar pasukan ke Wuhan

Pasukan peninjau Kedutaan Besar Malaysia Di Beijing selamat tiba di Wuhan kira-kira jam 3.30 pagi Ahad, selepas melalui perjalanan darat selama hampir 13 jam.

Kehadiran mereka adalah untuk membantu menyelaras proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia di Hubei, susulan wabak koronavirus di wilayah itu.

Sementara itu, angka kematian akibat jangkitan virus itu di China meningkat kepada 304 sehingga jam 8 pagi Ahad, berbanding 259 mangsa sebelumnya.

Angka jangkitan yang disahkan positif virus itu juga dilaporkan telah melepasi angka 14,000 kes di seluruh dunia.

Di China sahaja, 13,712 kes dilaporkan. Selain China, 26 negara turut dilaporkan mempunyai kes positif koronavirus baru 2019-nCoV.

2. Perdebatan sekitar usaha mengembalikan PPSMI

Susulan pengumuman Perdana Menteri bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara, isu tersebut menjadi perbincangan beberapa pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju.

Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa, berkata pelaksanaan PPSMI kali kedua perlu ditambah baik dan kerajaan perlu meneliti semula faktor kegagalan sebelum ini supaya tidak mengulangi kesilapan dasar itu seumpama pada 2003.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, jemaah menteri perlu memandang serius perkara tersebut lebih-lebih lagi ia tidak terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) seperti dijangka, menyokong cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ia perlu diterima semua pihak tanpa sebarang bantahan.

Pada masa sama, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad berkata, pada dasarnya, parti itu menolak pelaksanaan PPSMI kali kedua dasar itu kecuali jika ada hujah-hujah yang kukuh.

Sepertimana kenyataan dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Khalid yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan juga berkata, perkara tersebut belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

3. Dua ditahan susulan kekecohan semasa Rapat Umum Armada Johor

Polis pada Sabtu menahan dua lelaki disyaki menjadi dalang insiden provokasi dan kekecohan semasa perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan pihaknya sedang mengesan individu-individu lain yang turut terlibat.

Sebelum ini, polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat dan mengenalpasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda didakwa melakukan provokasi dan kekecohan semasa perjumpaan Armada Johor di Ulu Tiram, 31 Jan 2020 antara 9 malam dan 11.30 malam.

Kejadian berlaku di tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, ketika satu program Rapat Umum Armada Johor.

4. AirAsia nafi dakwaan salah laku

AirAsia menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) mengenai Airbus atau diberikan peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.

AirAsia berkata demikian bagi merujuk artikel bertajuk "AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say" di laman web focusmalaysia.my selain artikel-artikel lain yang tersiar di media mengenai Perjanjian Pendakwaan Tertunda yang dimeterai di antara Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.

Artikel itu yang mengaitkan beberapa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah tidak berkaitan dengan penajaan Airbus untuk pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

5. Keputusan perlawanan bola sepak

Premier League
Manchester United 0-0 Wolves

French Ligue 1
PSG 5-1 Montpellier
Amiens 0-0 Toulouse
Angers 1-4 Reims

Germany Bundesliga
RB Leipzig 2-2 Monchengladbach

LaLiga Santander
Mallorca 0-1 Valladolid
Valencia 1-0 Celta Vigo