SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Koronavirus: Malaysia dipuji

Tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan koronavirus baharu (2019 nCoV) dapat pujian pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menyifatkan pihak berkuasa Malaysia bersedia, berani dan rajin apabila turut meminta garis panduan dalam menangani koronavirus daripada pertubuhan itu dan menggunakannya.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru, yang menyifatkan Malaysia cemerlang dalam melakukan siasatan kesnya, turut menasihati rakyat Malaysia yang mengalami gejala penyakit pernafasan seperti batuk, bersin atau sesak nafas agar segera mendapatkan nasihat perubatan.

2. WHO minta ASD675 juta perangi koronavirus

WHO berkata sebanyak ASD675 juta diperlukan bagi berdepan dengan penyebaran wabak koronavirus dan pelan di peringkat global.

Susulan itu, komuniti antarabangsa melancarkan Pelan Strategik Kesediaan dan Respons bernilai ASD675 juta meliputi bulan Februari hingga April bagi memerangi penyebaran wabak tersebut.

Ia termasuk melindungi negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah.

3. Trump terlepas daripada pendakwaan

Menepati ramalan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu dilepaskan daripada dua pendakwaan ke atasnya membabitkan kes penyalahgunaan kuasa dan menghalang tugas Kongres.

Berhubung kes salah guna kuasa, 52 ahli Kongres bersetuju membebaskan Trump sementara 48 tidak bersetuju. Bagi tuduhan menghalang tugas Kongres, 53 bersetuju sementara 47 tidak bersetuju membebaskan presiden ke-45 AS itu.

Sehubungan itu, Trump tidak akan disingkirkan daripada terus menduduki White House.

4. Saham AS pada paras rekod

Saham di pasaran Amerika ditutup pada paras rekod pada Rabu dengan data ekonomi yang baik.

Ia turut disokong penurunan kekhuatiran dari segi kesan penularan koronavirus di China kepada sektor kewangan.

Saham Tesla mencatatkan kejatuhan 17 peratus selepas eksekutif kanan syarikat itu memberi amaran penularan koronavirus di China akan mengakibatkan kelewatan dalam penghantaran Model 3 di kilangnya di Shanghai.

5. Tiga jawatan MPT tidak dipertandingkan

Tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu Jun ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata, semua kepimpinan Bersatu di peringkat negeri bersetuju memastikan jawatan Pengerusi, Presiden serta Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Perhimpunan Agung Bersatu akan diadakan selama empat hari bermula 25 Jun dan akan mengadakan pemilihan buat kali pertama sejak ditubuhkan.