SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Terkini COVID-19

Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah di Itali, Jepun dan Iran dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

Sekatan sementara itu berkuat kuasa serta-merta melibatkan bandar Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali; Hokkaido di Jepun; dan Tehran, Qom dan Gilan di Iran.

Sekatan itu turut meliputi semua pelawat tanpa mengira warganegara yang berada atau pernah berkunjung ke bandar atau wilayah itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat kes COVID-19 di Pangkalan Udara Subang dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam pada itu, menggesa semua negara bertindak lebih agresif dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Seruan itu dibuat susulan peningkatan angka jangkitan dan kematian mencecah 17 kali ganda diakibatkan oleh koronavirus itu di luar China setakat ini



2. KP SPRM letak jawatan?

Benarkah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dikatakan meletak jawatan?

Beliau dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Rabu, Latheefa telah mengarahkan pegawainya memulakan siasatan ke atas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pendedahan aset miliknya berjumlah RM1 bilion.

Ia susulan kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu yang berkata beliau tidak perlu mengambil RM2 juta untuk kegunaan peribadi kerana nilai itu ibarat ‘wang poket’ bagi dirinya.



3. Justo tinggalkan Malaysia

Pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang membantu mendedahkan isu salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meninggalkan Malaysia.

Melalui sebuah pesanan WhatsApp yang dihantar beliau kepada Astro AWANI, beliau menyatakan sebab beliau membuat keputusan meninggalkan Malaysia adalah kerana risau tentang keselamatan keluarganya berikutan perubahan kerajaan pusat baru-baru ini.




4. Keputusan SPM

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.86 berbanding 4.89 pada 2018.

Pada masa sama, jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar mencatatkan peningkatan GPN 0.01 pada 2019 berbanding 2018.

Pencapaian calon luar bandar meningkat 0.44 peratus kepada GPN 5.14 berbanding 5.18 pada 2018, manakala pencapaian calon bandar ialah pada GPN 4.70 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya.




5. Keputusan bola sepak

Piala FA
Derby 0 - 3 Man Utd