SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Pengumuman kabinet baharu hari ini?

Persoalan siapa bakal mengisi barisan kabinet baharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin terjawab dalam minggu ini.

Ramai yang menjangkakan ia akan diumumkan sama ada hari ini atau esok.

Sementara itu, di peringkat negeri, yang ditunggu ialah ketua menteri baharu yang bakal dilantik dari kalangan pemimpin gabungan baharu Perikatan Nasional.

Teka-teki siapa Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal terjawab hari ini dalam satu pengumuman yang dijangka dibuat sebelum istiadat mengangkat sumpah di Seri Negeri.

2. Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, berdamailah

Baru-baru ini, ahli Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Malaysia, Wan Saiful Wan Jan, menyatakan harapan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa bagi menyelesaikan pertikaian politik antara mereka.

Ia susulan desakan yang timbul dalam kalangan ahli parti itu yang berharap pemimpin tertinggi parti itu dapat berdamai dan kembali mengukuhkan parti.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata, sukar untuk mereka berdamai memandangkan beliau masih teguh dengan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan pemimpin yang didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, semalam, Dr Mahathir meletakkan syarat kepada Muhyiddin supaya mengeluarkan pemimpin yang dikaitkan dengan penyelewengan dan rasuah, khususnya dari UMNO, jika mahu mengadakan sebarang pertemuan dengannya.

Katanya, ketika ini tiada keperluan untuk mereka bertemu sekiranya syarat terbabit tidak mampu dilaksanakan.

3. Ejen pelancongan berdepan kerugian RM500 juta

Susulan penularan COVID-19, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengakui operator pelancongan menanggung kerugian sekitar RM500 juta.

Berikutan itu, pihaknya meminta pembekal perkhidmatan pelancongan, terutamanya syarikat penerbangan dan hotel, mengenepikan caj pembatalan biasa, bagi mengelakkan ejen pelancongan mengalami kerugian berganda.

4. Perbicaraan kes MH17

Mahkamah Daerah The Hauge di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di Badhoevedrop, Amsterdam, akan menjadi tumpuan hari ini.

Perbicaraan jenayah terhadap empat lelaki yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 akan bermula hari ini.

Wartawan Malaysia telah berada di sana bagi membuat liputan permulaan perbicaraan itu.

Perbicaraan dijadual bermula pada 10 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).

5. Keputusan perlawanan bola sepak

Perlawanan yang paling menarik perhatian hari ini ialah Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Manchester United dan Manchester City yang berlangsung awal pagi ini.

Pertembungan yang dikenali sebagai Manchester Derby itu berakhir dengan kemenangan Manchester United 2 - 0 ke atas Manchester City.

Berikut disenaraikan keputusan beberapa perlawanan utama yang lain:

Ligue 1 Perancis
Rennes 5 - 0 Montpellier
Lille 1 - 0 Lyon

Bundesliga Jerman
Mainz 1 - 1 Dusseldorf

Serie A Itali
Udinese 0 - 0 Fiorentina
Juventus 2 - 0 Inter

LaLiga Sepanyol
Villarreal 1 - 2 Leganes
Betis 2 - 1 Real Madrid