SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. COVID-19 diisytihar pandemik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik.

Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitter rasmi pertubuhan itu yang antara lain menyatakan penilaian dibuat setelah memantau penularan dan kemudaratannya.

Pandemik merujuk kepada penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia dan merentasi kawasan luas hingga melepasi sempadan negara dan benua, malah ke seluruh dunia.



2. Kabinet umum penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi

Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi membincangkan langkah-langkah segera yang diperlukan bagi menangani isu berkaitan, termasuk ekonomi negara, COVID-19, serta kos sara hidup.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata majlis itu akan dipengerusikan beliau sendiri dan turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan beberapa individu lain.



3. 5,000 jemaah tabligh digesa tampil

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan lebih 5,000 ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan itu di Masjid Sri Petaling, di sini pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, usaha itu dilakukan susulan laporan International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang mengesan satu kes positif COVID-19 dikesan ada kaitan dengan perhimpunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 350 ahli tabligh sekitar daerah Tawau, Sabah yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu digesa melakukan saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Jenis 2, Jalan Chong Thien Vun.

Setakat ini seorang lelaki berusia 58 tahun merupakan kontak rapat dengan lelaki warga Brunei positif COVID-19 selepas menyertai perhimpunan itu telah dikuarantin di Hospital Tawau.



4. Sekatan terhadap rakyat 3 negara

Malaysia membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan, berkuat kuasa Jumaat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertama jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional pada Rabu setelah mengambil kira status semasa penularan virus COVID-19.




5. Kerajaan Kedah 'luruh' minggu ini?

Kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu yang kini menerajui negeri Kedah dijangka bertukar selewat-lewatnya minggu ini.

Perkembangan itu dijangka berlaku susulan pembentukan Kabinet baharu di peringkat Persekutuan selain masalah dalaman yang dihadapi gabungan terbabit ketika ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, perubahan itu juga bakal membuka dimensi baharu kepada pemerintahan kerajaan Kedah yang dilihat selari dan memihak kepada kerajaan Persekutuan khususnya dalam membawa suara rakyat negeri itu ke peringkat lebih tinggi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pada itu mengakui nasib anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk selepas terbentuknya Perikatan Nasional yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas boleh bertindak mengikut Pas Pusat selari dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.