SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Terkini COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham pada Ahad mengesahkan Malaysia telah mencatat kematian ke-10 pada Ahad susulan dua lagi kematian dilaporkan pada 22 Mac 2020.

Beliau berkata kematian itu masing-masing melibatkan kes ke-890 iaitu doktor perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kes ke-259 iaitu daripada kluster tabligh di Sri Petaling.

Ikuti perkembangan data terkini Covid-19 di sini



2. Tun M negatif COVID-19

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah disahkan negatif terhadap jangkitan COVID-19.

Meskipun disahkan negatif, beliau memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa akan tetap mematuhi protokol kuarantin selama 14 hari.



3. Keupayaan pensampelan dipertingkat

Kementerian Kesihatan akan meningkatkan keupayaan pensampelan sehingga 16,000 sehari menjelang April.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata untuk minggu ini sahaja, setiap hari pihaknya mampu menjalankan 3,500 ujian pensampelan sehari.



4. Harga baharu topeng muka diumum hari ini

Kerajaan sedang meneliti untuk menurunkan harga siling topeng muka di bawah RM2.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun harga baharu itu akan diumumkan esok selepas mesyuarat diadakan.

Sementara itu, isu pemberian penutup mulut dan hidung secara percuma, terutamanya di kawasan-kawasan berisiko COVID-19 adalah tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.



5. Bekalan makanan mencukupi

Aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur dibenarkan terus beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan bekalan daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil perikanan mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan pada Ahad berkata kebenaran itu juga diberikan kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan termasuk input-input pertanian dan makanan ternakan.



5. SAR Gunung Jerai disambung hari ini
Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus di kawasan kaki Gunung Jerai, Gurun akan disambung pada Isnin bermula jam 8 pagi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd Zain pihaknya terpaksa menangguhkan operasi yang bermula kira kira jam 6.30 petang Ahad selepas mengambil kira keadaan lokasi yang gelap dan berbahaya.