Hampir 50 peratus premis di semua pusat membeli-belah di bawah pengurusan Sunway Mall telah mula kembali beroperasi termasuk Sunway Pyramid, Sunway Velocity dan Sunway Putra.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Mall, Kevin Tan berkata, beberapa pemilik premis telah mula beroperasi sejak semalam termasuk bagi melaksanakan persiapan langkah pencegahan wabak COVID-19.

"Kita dapati 50 peratus kedai sudah mula dibuka sejak semalam dan peratusan melibatkan kedai-kedai kecil jauh lebih tinggi.

"Kita telah usahakan strategi pembersihan secara intensif di semua kawasan tumpuan di pusat beli belah ini bagi memastikan lokasi tersebut bebas kuman," katanya ketika ditemui di pusat membeli-belah Sunway Pyramid pada Selasa.


Mengulas mengenai situasi sukar yang dihadapi oleh penyewanya ketika penularan COVID-19 ini, pihaknya turut mengambil inisiatif untuk membantu pihak tersebut.

"Kita faham kesusahan yang mereka hadapi, ada yang terpaksa tutup kedai sebelum ini dan tiada hasil jualan.

"Kita ambil keputusan untuk tidak mengenakan sewa terhadap mereka sepanjang tempoh PKP ini, kita mahu mereka untuk terus bertahan dan saya percaya keadaan akan kembali normal selepas ini," katanya lagi.

Hasil tinjauan Astro AWANI mendapati kadar kehadiran orang ramai telah mula meningkat di pusat membeli-belah bagi mendapatkan barangan keperluan mereka.

Menurut pihak pengurusan Sunway Mall, turut jelas kelihatan adalah pertambahan jumlah kenderaan di kawasan parkir pusat membeli-belah itu berbanding hari-hari sebelum ini.

Bagaimanapun langkah-langkah pencegahan tidak akan diabaikan meskipun beberapa premis telah mula beroperasi termasuk mengamalkan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan beberapa sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).