Dalam usaha membantu golongan asnaf iaitu pihak yang layak menerima bantuan zakat, pelbagai langkah dijalankan demi memastikan kebajikan mereka terbela.

Bagi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (MAYC), projek ternakan ikan air tawar menjadi pilihan dalam memastikan sumbangan berterusan buat golongan terbabit.

Projek yang mengkhususkan kepada penternakan ikan keli ini bermula sejak September 2017 lalu dan dijalankan dengan modal awal sebanyak RM3,000.

Projek yang mengkhususkan kepada penternakan ikan keli ini bermula sejak September 2017 lalu dan dijalankan dengan modal awal sebanyak RM3,000.

Pengerusi MAYC Kelantan, Ir Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata keuntungan hasil jualan ikan air tawar ini mencapai RM600 sehari.

"Dengan hasil jualan ini, ia dapat membantu 500 keluarga," kata Ir Meor Shamshir.

Keuntungan hasil jualan ikan keli ini mencapai RM600 sehari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan Rumah Asnaf 2 di bawah kelolaan MAYC Kelantan pada Jumaat.

Pada majlis sama, Presiden MAYC Kebangsaan Mohd Syahbuddin Hashim berkata projek Rumah Asnaf yang mendapat sambutan mengalakkan mungkin diwujudkan di setiap kawasan Parlimen.

"Hasrat saya, tidak mustahil jika kita boleh wujudkan rumah asnaf ini di setiap Parlimen. Bagi saya, rumah asnaf ini boleh menjadi tempat pertemuan di antara masyarakat yang mana tidak semua mereka yang datang itu adalah berlatarbelakangkan mereka yang bermasalah.

"Namun mereka datang berkongsi pengalaman, keperitan dan pelbagai keperluan yang mungkin berguna untuk orang lain,” kata Mohd Syahbuddin.

Syahbuddin berkata, tidak semua masalah rakyat diketahui oleh penghulu, ketua kampung dan sebagainya. Namun dengan adanya rumah asnaf ini, ia memudahkan lagi pihak atasan bertemu masyarakat, sekali gus meringankan beban dan masalah yang dialami mereka secara lebih konsisten.