Malaysia meletakkan sasaran menempatkan secara sementara 500 migran Syria menjelang hujung tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setakat ini, 79 migran dari negara bergolak itu telah tiba di Malaysia sebagai usaha kerajaan dalam menerima 3,000 warga Syria atas dasar ihsan dan perikemanusiaan.

"Ketika bulan puasa ini, kita sasarkan 200 lagi migran Syria dibawa ke Malaysia tetapi ia bergantung kepada tapisan keselamatan dan saringan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyambut kumpulan kedua migrant Syria di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, hari ini.

Kumpulan merangkumi 68 orang daripada 18 keluarga berumur antara tujuh bulan dan 74 tahun itu tiba dari Kem Bekaa Valley, Beirut, Lubnan.

Kumpulan pertama terdiri daripada 11 orang daripada tiga keluarga tiba di Malaysia pada 8 Dis tahun lepas.

Ahmad Zahid berkata kumpulan kedua yang terdiri daripada 37 dewasa dan 31 kanak-kanak itu akan ditempatkan di apartmen tiga bilik di Setia Alam.

"Pihak NGO (badan bukan kerajaan) akan membantu kita untuk menguruskan penempatan mereka dan melihat soal kebajikan dan beberapa aspek lain. Ada juga golongan profesional dalam kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan dan NGO berkenaan akan membantu golongan profesional terdiri daripada jurutera, doktor dan pensyarah itu mendapatkan pekerjaan sementara di negara ini.

"Permit kerja sementara juga akan dikeluarkan kepada golongan berkenaan dan bagi pelajar pula visa akan dikeluarkan bagi membolehkan mereka mendapatkan peluang pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyumbang kepada badan-badan berkaitan Syria bagi membolehkan lebih ramai warga Syria tiba di negara ini.

"Kita telah membelanjakan RM2 juta dan jumlah ini memerlukan tambahan, saya mohon orang ramai memberi sumbangan," katanya, sambil menambah kos yang besar melibatkan penyewaan pesawat penerbangan khas.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 migran Syria dalam tempoh tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian.