Sejumlah 51 pesakit termasuk tiga kakitangan yang cedera susulan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini kini ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata keadaan mereka dilaporkan baik dan stabil.

Beliau berkata 'keadaan bersiap sedia' telah diisytiharkan di peringkat hospital HSI khusus untuk membantu serta menempatkan pesakit HSA.

"Sebahagian pesakit yang ada di HSA dibawa ke HSI dan bilik gerakan juga telah dibuka bagi memantau mereka (pesakit)," katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan ke HSI malam ini.

Beliau turut menggesa hospital swasta berdekatan untuk membantu pesakit di HSA memandangkan jumlah pesakit di hospital itu ramai.

"Kita minta bukan sahaja hospital kerajaan tetapi hospital swasta juga perlu melakukan CSR (tanggungjawab sosial korporat) kerana kita ramai pesakit di HSA yang memerlukan perkhidmatan segera," katanya.

Ayub turut memuji sikap warga HSA dan HSI yang berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Warga hospital telah bekerja keras untuk pastikan bahawa mereka dapat memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Mereka berjuang untuk pastikan nyawa pesakit dapat diselamatkan," katanya.

Enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut dalam kebakaran di ICU itu yang berlaku pagi tadi.

Operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa bermula kira-kira 9.05 pagi itu tamat sepenuhnya pada 11.25 pagi. - BERNAMA