Seramai 55 orang pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana disyaki terhidu gas beracun pagi tadi.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka terdiri daripada 50 pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki.

"Pelajar-pelajar yang dihantar ke hospital oleh ambulans dan ibu bapa sendiri masih ditahan di wad kerana pihak kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Jadi kami akan pantau keadaan mereka dahulu sebelum boleh benarkan mereka pulang.

"Pelajar-pelajar ini menunjukkan simptom-simptom seperti sesak nafas dan muntah-muntah tetapi semuanya berada dalam keadaan yang stabil," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Nazri Zakaria berkata bilik gerakan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi dan anggota bomba dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Baju pelajar-pelajar ini diambil untuk dikaji kerana alat pengesan gas tidak dapat mengesan sebarang gas beracun di kawasan sekolah sehingga 1 tengah hari dan kita dapati terdapat bahan kimia yang dipanggil 'acrolein' yang banyak digunakan dalam baja," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya gas bahan kimia itu datang daripada aktiviti membaja yang dilakukan pesawah di kawasan berhampiran kerana tidak dapat mengesan sebarang kebocoran di kilang baja berdekatan setelah siasatan dilakukan.

Pihak bomba sebelum itu membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekolah tetapi tidak menjumpai sebarang kebocoran yang berlaku.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Latt berkata sesi persekolahan di sekolah tersebut juga berjalan seperti biasa memandangkan punca kejadian bukan dari sekolah itu.

"Maklumat kita terima dari pihak Bomba, kawasan sekolah selamat dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa," katanya.