Selepas menempuhi perjalanan lebih dua minggu, kesemua 56 pelarian Rohingya akhirnya mendarat di Terminal Penumpang Feri, Kuala Kedah, semalam.

Kumpulan pertama terdiri daripada 17 wanita dewasa, 12 kanak-kanak perempuan dan lapan kanak-kanak lelaki serta seorang lelaki dewasa dibawa dengan menaiki kapal Maritim Sugul kira-kira 7.45 petang.

Selebihnya 19 lagi lelaki Rohingya dewasa dari kumpulan pelarian itu tiba di Kuala Kedah kira-kira 30 minit kemudian dengan bot kayu yang dipintas oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd Said, kesemua pelarian yang berusia antara dua hingga 46 tahun itu berada dalam keadaan keletihan selepas mengharungi pelayaran yang panjang.

"Kita sedang mengambil maklumat lagi allhamdulillah kita berjaya membawa mereka ke Kuala Kedah. Kita menghadapi sedikit masalah komunikasi untuk mendapatkan maklumat mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, kesemua pelarian itu dibawa ke Pejabat Imigresen di Anak Bukit untuk tindakan lanjut.

Katanya, kesemua pelarian Rohingya itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Sementara di Belantik, Sik hingga siasatan selesai.

"Setakat ini, kita akan menunggu maklumat lanjut daripada pihak Maritim Malaysia sebelum tindakan lanjut," katanya.

Dalam operasi pagi semalam, pihak berkuasa Malaysia terdiri dari aset Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin yang ditugaskan membuat rondaan telah memintas bot itu pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Nyior Setali berhampiran Pulau Tuba kira-kira jam 9.30 pagi.

Pihak Maritim Malaysia memberi bantuan awal seperti makanan, minuman serta bantuan perubatan yang diperlukan kumpulan pelarian tersebut sebelum mereka dibawa ke markas Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi dan dipindahkan ke Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen.