Seramai 58 mangsa dari 19 keluarga di Kampung Lapangan Terbang dan Kampung Seri Pasir di Kepala Batas di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Assyakirin, berikutan banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan, sejak petang Isnin.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata kesemua mangsa dipindahkan ke PPS tersebut sejak 6 petang, selepas air menenggelamkan rumah penduduk antara 0.3 dan 0.5 meter.

Selain di PPS Surau Assyakirin, dua lagi PPS dijangka dibuka malam tadi, di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan SK Gunung ekoran banyak kediaman penduduk di situ mula dinaiki air.

"Kita masih belum mengetahui jumlah kesemua mangsa di dua PPS yang baharu dibuka kerana masih mendaftar masuk dan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata banjir berpunca daripada limpahan air sungai berhampiran akibat hujan lebat petang Isnin dan menyebabkan banjir kilat.

"Kita masih membuat pemantauan di kawasan yang dikenal pasti dinaiki air dan jika memerlukan pemindahan kita akan lakukan segera," katanya.

-- BERNAMA