Sejumlah 6,275 wanita dari pelbagai negara ditahan sejak Januari hingga April lepas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman SAC Roslee Chik berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,133 adalah warga Vietnam.

Bilangan wanita Vietnam yang ditahan meningkat berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh sama iaitu 1,126 orang.

"Peningkatan sejumlah 1,007 wanita Vietnam adalah disebabkan permintaan pelanggan dan bayaran murah serta layanan 'mesra' wanita negara itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan wanita Vietnam menjalankan kegiatan mereka di pusat hiburan dan rumah urut.

"Kos yang murah dalam sistem pengangkutan seperti penerbangan tambang murah dan jalan darat melalui Thailand juga menjadi pemangkin untuk mereka masuk ke negara ini.

"Wanita Vietnam ini dipercayai dibawa masuk oleh ejen tempatan sebelum mengagihkan wanita berkenaan mengikut permintaan pengusaha pusat hiburan," katanya.

Selain wanita Vietnam, turut ditahan dalam Ops Noda di seluruh negara sepanjang Januari hingga April lepas ialah wanita China (1,661), Thailand (1,369), Indonesia (485), Filipina (212), India (94), Bangladesh (23), Laos (28) dan Uganda (16).

Wanita negara lain yang turut terbabit dalam kegiatan pelacuran di negara ini ialah Pakistan, Nepal, Kampuchea, Uzbekistan, Nigeria, Singapura, Rusia, Sri Lanka, Venezuela dan Perancis.

Roslee berkata polis melakukan 18,520 serbuan bagi membanteras kegiatan pelacuran dengan yang tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 4,959 diikuti Kuala Lumpur (3,518), Johor (3,074) dan Perak (2,426).

Beliau berkata wanita tempatan turut terbabit dengan gejala pelacuran iaitu seramai 621 orang sepanjang empat bulan lepas (Januari hingga April 2014).

"Tahun lepas, polis tahan seramai 934 wanita tempatan sepanjang tempoh masa yang sama," katanya sambil menambah polis sedang giat