Kira-kira 300 orang penduduk hilang tempat tinggal selepas 60 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, api merebak dengan pantas dan usaha memadamkan api menjadi sukar kerana ketiadaan sistem pam air, sebaliknya penduduk terpaksa mengambil air laut untuk memadamkan kebakaran.

Menurut Ikmal Fawwaz, salah seorang sukarelawan MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kebanyakan penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk perabot serta peralatan rumah.

"Buat masa sekarang belum ada kepastian di mana mereka akan ditempatkan tetapi berkemungkinan mereka akan ditempatkan di sekolah berhampiran," kata Ikmal ketika dihubungi.

Tambah Ikmal, pulau keempat terbesar di Malaysia itu tidak mempunyai kemudahan asas yang baik, biarpun merupakan antara destinasi pelancongan yang popular.

"Di sini tiada akses kepada sistem bekalan air, sebaliknya penduduk cuma bergantung kepada air hujan. Jalan di kampung-kampung di sini juga tidak bertar, manakala bekalan minyak petrol langsung tiada," tambah Ikmal.

Yayasan Pusat Belia Antarabangsa turut melancarkan kutipan dana untuk mengumpul sumbangan yang akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:

YAYASAN PUSAT BELIA ANTARABANGSA
Maybank 0141 3242 4724
Sertakan kod rujukan: MCKUDAT